Jangan politikkan UEC, kata Johari Ghani

ISU Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak wajar dipolitikkan kerana setiap rakyat mempunyai pilihan pendidikan masing-masing, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Naib Presiden Umno itu berkata, perkara paling asas yang perlu dijaga ialah sikap saling hormat terhadap sistem pendidikan yang wujud dalam negara.

“Setiap ahli politik ada pandangan masing-masing, itu perkara biasa. Tetapi bagi saya, yang paling penting ialah semua rakyat Malaysia menghormati apa yang kita ada.

“Kalau ada yang tidak bersetuju dengan UEC, mereka tidak perlu memilih aliran itu. Jika ada yang merasakan UEC diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mahu mengikutinya, itu pilihan mereka,” katanya selepas merasmikan Program UK PACT 2.0: Kerjasama Malaysia-UK untuk Peralihan Iklim yang Dipercepatkan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Johari menegaskan, Malaysia menawarkan pelbagai laluan pendidikan termasuk universiti, kolej dan aliran akademik berbeza tanpa sebarang paksaan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sekolah kebangsaan sudah mempunyai silibus yang ditetapkan kerajaan, justeru sebarang perubahan perlu dibuat dengan teliti.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menempelak DAP dengan menyasarkan kecamannya kepada Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dengan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi.

Ini susulan kenyataan Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa DAP akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.