Jafry akan pilih calon Lamag dan Kinabatangan

KEPUTUSAN mengenai kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag yang diisytihar kosong selepas kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin, akan diserahkan kepada Ketua UMNO Sabah yang baru, Datuk Jafri Arifin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata walaupun ada beberapa nama disebut-sebut, fokus utama adalah memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kemenangan di kedua-dua kerusi berkenaan.

“Kita perlu ketengahkan calon terbaik dan dikenali pengundi di kawasan Parlimen Kinabatangan yang luas ini.

“Parlimen Kinabatangan sangat mencabar kerana kawasannya amat besar, hampir setara negeri Pahang, Parlimen ini terdiri daripada tiga kawasan DUN iaitu Kuamut, Sukau dan Lamag, ” katanya di Pontian, semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas susulan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Sabah, selepas kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini, Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 135 undi dalam saingan enam penjuru.