ROMBAKAN Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan naib presiden Umno Datuk Seri Johari Ghani diberikan portfolio Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala ketua Wanitanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dinaikkan pangkat sebagai menteri Perladangan dan Komoditi.
Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri I.
Dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan daripada Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan seorang lagi Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Zaliha digantikan Hannah Yeoh yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, manakala jawatan dikosongkan Mohd Na’im diisi timbalannya, Senator Dr Zulkifli Hassan, manakala pendakwah, Marhamah Rosli mengisi tempat Zulkifli.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, K Saraswathy digugurkan dan digantikan Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran.
Pelantikan itu adalah langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.
Rombakan Kabinet sulung Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.
Kabinet Kerajaan MADANI sebelum ini menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri.
Ia susulan peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada 8 November lalu, menyusul selepas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli turut meletak jawatan berkuat kuasa 17 Jun lalu selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan PKR, Mei sebelumnya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad juga meletak jawatan berkuat kuasa 4 Julai selepas tewas pemilihan Naib Presiden PKR, manakala jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri disandang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kosong selepas beliau tamat tempoh pelantikan sebagai Senator.