Tok Mat persoal agihan jawatan politik NS

TIMBALAN presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan sepatutnya dilakukan secara adil dan seimbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, ia sebagaimana dipraktikkan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan berikutan kerajaan negeri dibentuk secara bersama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN).

“Saya ingin menegur sedikit, sebagai wakil daripada rakan yang menubuhkan kerajaan Negeri Sembilan ini, saya rasa kecewa kerana kita berjanji di peringkat Persekutuan untuk mengurus negara bersama-sama.

“Negeri Sembilan pun begitu, kita bersama untuk urus negeri dan kita mesti beri sama-sama. Itu sebabnya di peringkat Kabinet, jika KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) dipegang PH, luar bandar (Kementerian Luar Bandar dan Wilayah) pula dipegang BN.

“Tetapi di Negeri Sembilan, keputusan yang dibuat baru-baru ini tidak begitu. Sepatutnya satu untuk kamu, satu untuk saya; satu untuk saya, satu untuk kamu.

“Ini dua untuk saya, kosong untuk kamu. Tak mahulah begitu,” katanya dalam perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, semalam.

Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat berkata, setiap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan perlu saling menghormati antara satu sama lain.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, sukar bagi pihaknya untuk menjelaskan persoalan yang dikemukakan oleh akar umbi.

“Bukankah lebih baik jika pembahagian jawatan senator itu satu untuk PH dan satu untuk BN? Kami seboleh mungkin ingin bersama-sama mengurus negeri dan negara, tapi di luar sana, ada tahap kita boleh mengekang perasaan.

“Keputusan seperti ini tidak wajar. Saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi. Hormatilah rakan kerjasama kita.

“Seperti ucapan Yang Amat Berhormat Sikamat (Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun–PH), labur sama dapat, cicir sama rugi.

“Tapi ini, labur tak sama dapat. Yang labur seorang saja dapat, yang cicirnya kami,” tegas Tok Mat lagi.